• Rayu tanah tidak diambil semula  
  • Penduduk berkumpul beramai-ramai merayu ladang sawit yang diusaha secara berkelompok mendapat pertimbangan pihak terbabit.
GUA MUSANG - Seramai 15 penduduk mengusahakan ladang sawit berkelompok di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Chiku Satu, Daerah Relai, dekat sini, berdepan kerugian teruk apabila menerima notis pengosongan daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Oktober lalu.

Mereka diberi tempoh 14 hari dari tarikh surat notis dikeluarkan untuk mengosongkan kawasan terbabit, sedangkan kawasan tersebut sudah mendapat kelulusan daripada pejabat berkenaan sebelum ini dan penuh dengan tanaman sawit membabitkan perbelanjaan beratus ribu ringgit.

Tanah tersebut dimajukan untuk tujuan berkenaan selepas dirujuk terlebih dahulu kepada pihak terbabit, termasuk juru ukur tanah di pejabat itu bagi mengenal pasti tidak berlaku pertindihan pihak lain dan disahkah tidak terbabit pula dengan hutan simpan kerajaan sebelum dibenarkan buat bayaran deposit tanah untuk proses hak milik.

Sehubungan itu, mereka merayu kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang supaya tidak mengambil tindakan dengan mengarahkan pengosongan kawasan ladang berkenaan kerana tanaman sawit berkelompok itu sahaja yang menjadi sumber pendapatan mereka.

Diberi masa 14 hari

Seorang penduduk tempatan yang lebih awal meneroka tanah itu, Wan Omar Wan Yusoff, 59, mengakui tanah itu sudah lama diterokanya sejak hampir tujuh tahun lalu, bersama beberapa penduduk lain, tetapi ketika itu belum ditanam sepenuhnya dengan sawit kerana kekurangan modal.

Menurutnya, penduduk sepakat mengeluarkan modal untuk mengusahakan ladang sawit terbabit, namun sebaik selesai menanam sawit mereka menerima notis pengosongan daripada pejabat berkenaan hingga menimbulkan kekecewaan terhadap perkara itu.

“Kami bukan mengusahakan tanah kawasan itu secara tidak sah kerana kami sudah bayar deposit tanah terlebih dahulu sebelum ditanam dengan sawit, tetapi setelah siap ditanam dengan menghabiskan modal yang besar baru pihak pejabat datang untuk menghantar notis pengosongan.

“Notis diberi masa 14 hari untuk mengosongkan kawasan tanah terbabit tanpa mengambil kira kami semua tidak mempunyai pendapatan lain kecuali menunggu hasil ladang sawit berkenaan dalam tempoh empat tahun lagi dan kami merayu supaya diberi pertimbangan sewajarnya  untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Deposit sudah dijelaskan

Daud Mohamad, 64, pula berkata, kawasan seluas dua hektar bagi setiap penduduk itu adalah kawasan hutan yang belum diterokai mana-mana pihak sebelum ini.

Katanya, setiap lot tanah bagi seseorang penduduk yang ditanam dengan sawit itu sudah dijelaskan depositnya membabitkan RM2,737 untuk satu lot sebagai syarat, sementara menunggu proses hak milik dengan harapan tidak berlaku perkara bertentangan dengan peraturan ditetapkan.

“Namun kami terkejut apabila pihak Pejabat Tanah dan Jajahan datang menampalkan notis dengan mengarahkan pengosongan segera kawasan ladang terbabit.

“Di mana tempat kami untuk mencari rezeki apabila ia menjadi kawasan milik orang lain yang tidak mengeluarkan modal satu sen pun.

“Kami sedih kerana berlaku perkara di luar jangkaan ini. Boleh dikatakan sepanjang hari kami memberi tumpuan kepada pembukaan ladang sawit secara berkelompok dengan harapan ada imbuhan balik selepas ini,” katanya.

Cari penyelesaian terbaik

Seorang lagi penduduk, Hasbullah Mustapha, 57, berkata, Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan ulama mempunyai cara terbaik bagi penyelesaian perkara itu dan tidak mudah bertindak untuk menghalang penduduk keluar dari kawasan berkenaan kerana sudah menghabiskan modal yang besar untuk tujuan itu.

Katanya, kebanyakan penduduk terbabit menyimpan wang begitu banyak hingga ada yang terpaksa bergadai dan meminjam wang daripada institusi kewangan bagi menjayakan projek tanaman sawit berkelompok yang ditunggu sekian lama, tetapi berdepan pula dengan masalah lain.

“Kami rakyat Kelantan yang tinggal dalam serba kekurangan memerlukan pembelaan daripada kerajaan negeri yang menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam untuk kami terus berbakti kepada tanah supaya memperoleh hasil pendapatan dan tidak pula dibebani miskin di bumi sendiri.

“Kami dah tak ada harta kerana barang kemas isteri terpaksa digadai bagi mengumpulkan modal untuk dibelanjakan bagi tujuan itu dan kami juga bersedia untuk bertemu Menteri Besar,  Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan perkara itu pada bila-bila masa,” katanya.